Monday, May 13, 2019

NEGARA YANG BERMASALAH MENURUT AL-FARABI.



(Sempena setahun pemerintahan PH)

Al-Farabi (872-950m) merupakan seorang tokoh falsafah politik yang bukan sekadar menyinari dunia intelektual Islam, bahkan turut disanjungi oleh Barat. Jika Aristotle digelar sebagai Guru Pertama, al-Farabi pula digelar sebagai Guru Kedua. Nama beliau cukup besar.


Apa yang mendorong al-Farabi untuk berbicara soal falsafah politik, kerana di zamannya berlaku kepincangan & konflik yang tidak berkesudahan. Politik negara serba tidak stabil. Sementara al-Farabi ketika itu tidak menjawat jawatan politik yang membolehkan beliau berfikir secara bebas & berobjektif, tanpa terikat dengan kepentingan politik.

⚫ Negara Yang Bermasalah.

Al-Farabi mengklasifikasikan negara yang bermasalah, antaranya dengan gelaran Madinah Jahilah. Jahil di dalam Bahasa Arab bermaksud:

• Anti Ilmu.
• Sesat.
• Hilang pertimbangan.
• Emosional & berdendam.

Rangkuman dari sifat-sifat jahil itu akan mengimplikasikan suasana negara yang bermasalah. Lantas al-Farabi menyenaraikan 6 ciri negara jahil.

• Pertama: Individualistik.

Mentaliti yang hanya berfikir soal kecukupan dirinya sahaja. Sikap individualistik tersebut menyebabkan munculnya masyarakat yang pentingkan diri sendiri & terhakis rasa tanggungjawab sosial.

• Kedua: Materialistik.

Penduduk sesebuah negara hanya sekadar berfikir soal keuntungan kebendaan. Titik solidariti mereka berpusat pada pulangan material. Hinggakan sikap & kecenderungan politik diolah berpaksikan materialisme. Sudah pasti, dalam suasana sedemikian membolehkan prinsip masing-masing boleh dijual beli.

• Ketiga: Populis.

Masing-masing berfikir soal prestij. Apa-apa pendirian & tindakan dibuat berdasarkan faktor pujian serta populariti yang bakal diraih. Dari sikap populis tersebut, melahirkan kepalsuan-kepalsuan yang memperdaya sesama sendiri.

• Keempat: Dangkal & Hina.

Rakyat yang terdidik hanya mahu mencari kepuasan hidup dengan berhibur dalam segenap aspek kehidupan. Dalam erti kata lain, budaya hidup hedonisme diterapkan. Masing-masing membuat pertimbangan berdasarkan keseronokan. Sikap ini menghilangkan daya rasional dalam berfikir.

• Kelima: Liberal.

Anggota negara yang merasakan masing-masing bebas untuk melakukan apa sahaja. Proses liberalisasi tersebut sekaligus beragenda merombak segala konstitusi. Maka berlakulah pelanggaran terhadap perlembagaan & perundangan, serta terjadilah pencerobohan hak antara satu sama lain.

• Keenam: Dendam.

Masing-masing merasa puas dengan menindas sesama sendiri. Dari sikap inilah melahirkan diktatorship & suasana masyarakat yang serba tidak harmoni.

⚫ Rosak & Sesat.

Di samping Madinah Jahilah, al-Farabi turut menyentuh perilaku fatal yang menggambarkan keadaan negara yang rosak. Antaranya negara yang pemimpin & rakyatnya hanya tahu beretorik, tetapi tidak melaksanakan nilai-nilai baik yang sering mereka laungkan.

Begitu juga negara akan hancur jika pemimpinnya merasakan dirinya mewakili Tuhan. Kononnya segala apa yang keluar dari mulutnya adalah wahyu baharu, sekalipun dangkal. Bahkan penyelewengan & penipuan diwajarkan atas nama Tuhan.

Corak kepimpinan seperti ini akan menyekat proses 'check & balance'. Lantas apabila berlakunya kepincangan, alasan takdir seringkali dijadikan sebagai 'escapisme'.

⚫ Negara Ideal.

Al-Farabi kelihatan menyambung idea kenegaraan Plato. Ahli Falsafah Yunani yang terkenal dengan manhaj 'Platonic Idealism' tersebut, cukup terkenal menggagaskan konsep Negara Ideal.

Bagi Plato syarat utama membina Negara Ideal, ia mestilah dipimpin oleh ketua yang bertaraf ahli falsafah. Dalam erti kata lain, pemimpin mestilah dipilih dalam kalangan pemikir.

Al-Farabi pula meletakkan syarat bagi Negara Ideal itu, mestilah dipimpin oleh ketua yang mempunyai sifat kenabian. Memiliki kualiti diri yang benar, amanah, bijaksana & komited menyampaikan kebenaran.

Jika pemimpin yang dilantik itu terpalit dengan sikap penipu, pecah amanah, bodoh & suka memperbodohkan orang, maka itu semua menjadi faktor kepada kehancuran negara. Realiti demokrasi hari ini, golongan bawahan tidak terdidik

berkenaan kaedah bagaimana untuk bijak memilih pemimpin secara rasional.

Dari kedangkalan tersebut menyebabkan, yang dinaikkan menjadi pemimpin itu adalah dari penganut Machiavellianiasme. Penipu, pelakon & korup. Vaksin kepada kemelut berpanjangan ini adalah, pembudayaan ilmu.

⚫ Matlamat Bernegara.

Tiada apa yang manusia cari melainkan kebahagiaan. Ramai yang tertipu, kononnya dengan kecukupan material mampu menghasilkan kebahagiaan hidup. Berapa banyak negara maju, pada masa yang sama turut memegang rekod bunuh diri yang tinggi. Hinggakan tragedi bunuh diri telah bertukar seakan-akan rutin biasa masyarakat. 

Hakikatnya, manusia mencapai kebahagiaan dengan terlunasnya keperluan spritual & intelektual. Al-Farabi menekankan betapa Negara Ideal mestilah bersifat ketuhanan. Justeru ideologi yang dianut oleh sesebuah negara mestilah jelas halatujunya. Nabi membina negara dengan asas agama. 

⚫ Kembali Kepada Islam.

Oleh kerana itu dalam perbahasan istilah madinah, ia diambil dari kalimah al-Din. Bermaksud negara yang berdiri di atas tapak agama. Jika kita mengamati al-Quran, Allah telah menjelaskan negara yang baik itu mestilah tidak lari dari pantauan agama Allah. Antaranya:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ 

"Negara yang baik & memperolehi keampunan Tuhan" - Saba 15.

Selain dari jalan yang telah Allah ajarkan, sesebuah negara itu tidak akan dapat mencapai kebahagiaan yang hakiki. Anutlah apa jua ideologi dalam rangka mencari solusi hidup, pasti akan menemui jalan mati. Hal ini kerana, hanya Allah Yang Maha Tahu bagaimana cara & jalan buat hambanya untuk bahagia.

9 Mei 2019.

No comments:

Post a Comment

SOALAN CEPU EMAS : Mengapa mainstream media tak berani tanya (atau buat follow-up) Mahathir mengenai dakwaan Najib tentang kekayaan Mahathir dan anak-anaknya?

SOALAN CEPU EMAS : Mengapa mainstream media tak berani tanya (atau buat follow-up) Mahathir mengenai dakwaan Najib tentang kekayaan Mahat...